Harapan...

Rabu, Oktober 29, 2014

CERITA BANJIR 2013 DARI PMINT

PMINT CAKNA MANGSA BANJIR KEMAMAN
Pada 16 Disember 2013, seramai hampir 30 orang warga kerja PMINT dari kalangan Ahli Majlis Bersama Jabatan (MBJ), Ahli Jawatankuasa Kebajikan dari Kelab Sukan Dan Kebajikan PMINT (KESUMIN), Bahagian Perumahan RAKR dan Unit Perhubungan Awam PMINT telah menyertai misi menghantar bantuan kepada mangsa banjir di dua buah projek Perumahan RAKR di Kemaman iaitu Perumahan RAKR Kampung Fikri dan Perumahan RAKR Pasir Gajah.

Bantuan yang disampaikan berupa keperluan makanan yang diagihkan dari rumah ke rumah setiap mangsa banjir. Turut sama membantu melancarkan kerja-kerja pengagihan bantuan ini ialah warga kerja PMINT daripada Pejabat PMINT Cawangan Kerteh , petugas-petugas JPAM serta Pengerusi JKKK Perumahan RAKR Kg. Fikri dan Pengerusi serta ahli JKKK Perumahan RAKR Pasir Gajah.

Pada misi yang sama, Jawatankuasa Kebajikan KESUMIN turut mengambil peluang menyampaikan hasil kutipan tabung mangsa banjir melibatkan dua orang warga kerja PMINT yang terlibat iaitu Encik Jamaludin bin Alias di Pejabat Cawangan Kerteh dan Puan Shahidah binti Harun di kediamannya di Kampung Mak Chili, Kemaman.

Misi bantuan ini adalah usaha PMINT untuk meringankan beban mangsa banjir khususnya melibatkan penyewa di kedua-dua buah projek perumahan RAKR tersebut. Ia juga merupakan salah satu aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) PMINT kepada rakyat dan juga pelanggan yang terlibat dengan bencana alam iaitu banjir besar pada tahun ini yang begitu mengejutkan rakyat Kemaman baru-baru ini.

Sepanjang tinjauan yang dibuat di kedua-dua projek perumahan tersebut, kebanyakan penghuni masih lagi menjalankan kerja-kerja pembersihan rumah masing-masing. Didapati banyak sampah sarap yang merupakan sisa perabut dan barangan kelengkapan rumah yang musnah akibat ditenggelami air dan berlumpur telah dilonggokkan di luar kawasan rumah. Menyedihkan lagi, penghuni Perumahan RAKR Pasir Gajah masih lagi mengalami masalah bekalan air yang tidak mencukupi di kediaman masing-masing sehinggakan terpaksa mengangkut air dari kawasan masjid berdekatan untuk kegunaan harian.

Komitmen Pengurusan PMINT dan hasil kerjasama dan bantuan tenaga yang diberikan oleh semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung di dalam menjayakan misi bantuan ini amatlah bermakna dan begitu dihargai. Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada mereka yang terlibat. Insyaallah, niat dan usaha murni yang dilaksanakan ini akan beroleh keberkatan dan keredhaan daripada Allah S.W.T..