Nampaknya pilihanraya umum semakin hampir. Ke mana sahaja kita pergi, orang ramai bercakap tentang pilihanraya umum. Ramai yang berpendapat bahawa jika BN menang cemerlang dalam pilihanraya umum negeri Sarawak pada April ini, parlimen akan dibubar pada bulan Julai ini.
Di sana sini orang yang melobi jadi calon sedang memasang pelbagai strategi untuk dipilih sebagai calon. Saya hari ini berada di Kuala Terengganu menemui beberapa rakan yang mahu jadi calon. Kebetulan saya sempat menemui Setiausaha PKR Terengganu, Fazli Haji Endut yang merupakan orang Bukit Tumboh, Kuala Terengganu.
Dia meramalkan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli akan bertanding di parlimen Kemaman menentang calon BN, Datuk Ahmad Shabery Cheek. Baru-baru ini Rafizi menunjukkan kemampuannya berhujah di RTM1 dengan ahli parlimen BN Hulu Selangor, Kamalanathan dan ternyata beliau seorang yang hebat mematahkan hujah lawan. Saya tak sangka dia orang Kemaman. Manakala di Dungun pula, ahli parlimen Indera Mahkota, YB Azam yang kini Pengerusi PKR Terengganu akan bertanding di situ.
Oleh kerana PKR sudah menyenaraikan siapa calon yang akan bertanding di Kemaman maka saya ingin fokus sedikit calon BN di empat DUN di Kemaman. Di DUN Kijal sudah tentu Mneteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said kekal bertanding di situ. Walaupun ada yang berkata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Sabery Cheek akan bertukar kerusi dengan Ahmad Said, tetapi tidak mungkin akan berlaku. Dari dahulu pernah Tan Sri Wan Mokhtar menawarkan Ahmad Said bertanding kerusi parlimen, tetapi Ahmad lebih selesa bertanding di kerusi DUN Kijal.
Di DUN Chukai, jika Datuk Mohamed Awang Tera tidak bertanding, dia bakal diganti oleh Setiausaha Politik MB, Wan Ahmad Nizam Wan Hamid atau seorang peguam Ahmad Shahul Hamid atau Mat Bawal yang juga ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Kemaman.
Di DUN Air Putih, jika Wan Hakim Wan Mokhtar yang dikatakan orang Datuk Seri Idris Jusoh digugurkan sebagai calon, maka dua nama amat popular di sini sama ada Setiausaha Bahagian, Rosli Ahmad atau Tuan Kecil Tuan Tengah, seorang ahli jawatankuasa bahagian yang paling lama.
Nama Wan Ahmad Nizam yang pernah jadi ADUN Air Putih turut disebut-sebut sebagai calon. Memang nasib orang Air Putih yang selalu mendapat orang luar menjadi calon kerana semua anak tempatan tak layak sedangkan anak bekas YB Harun Hassan yang merupakan pengurus kanan Amanah Raya Berhad, Khairuddin Harun boleh ditonjolkan sebagai calon di sini.
Di DUN kemasik, nama IR Rosli Othman yang terlibat dengan kes SPRM sudah pasti digugurkan sebagai calon. Dua nama yang popular di sini ialah ahli jawatankuasa bahagian, Haji Mustafa Abdul rahman atau Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman, Mustapha Khalid.
Di parlimen pula, jika Ahmad Shabery yang jarang balik kawasan digugurkan sebagai calon kemungkinan besar Wan Hakim yang akan bertanding di parlimen kemaman. Ramai yang kecewa dengan Shabery yang tidak menolong orang kemaman. Bila orang Kemaman minta tolong dia dengan tender KBS, dia jawab dia tak campur urusan tender sedangkan sebagai menteri dia boleh arah KSU beri tender itu kepada orang kemaman jika harganya bersesuaian. Nampak sangat ada juga menteri yang tak tolong pengundinya.
Dalam perasmian mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Kemaman tahun lepas, Ahmad said selaku Ketua Bahagian telah menyelar sikap wakil rakyat yang tidak balik kawasan yang hanya nampak muka menjelang pilihanraya. ramai yang menafsirkan ucapan Menteri Besar itu ditujukan kepada Ahmad Shabery Cheek.