Gara-gara jambatan besi berlantaikan kayu sepanjang kira-kira 500 meter itu yang menghubungkan kampung terbabit ke kawasan Seberang Pasir Gajah hancur dan runtuh, seramai 200 penduduk kampung berhadapan masalah menyeberangi sungai untuk ke kebun getah dan kebun kelapa sawit masing-masing.
Penduduk yang juga pesara kerajaan, Ismail Ibrahim, 74, berkata, berikutan masalah itu, ada penduduk terpaksa kembali kepada cara tradisional iaitu menggunakan perahu untuk menyeberang sungai sebagaimana cara digunakan pada 1890 ketika perkampungan itu baru dibuka.
Menurutnya, bagi penduduk yang tidak memiliki kemudahan perahu pula, mereka terpaksa ke kebun dengan menempuh perjalanan sejauh sembilan kilometer melalui Kampung Seberang Tayor dan ia menyulitkan penduduk terutama bagi warga emas.
“Keesokannya, selepas banjir reda saya bersama beberapa penduduk terkejut melihat jambatan yang terletak berdekatan Masjid Jambi itu hancur sama sekali,” katanya kepada Sinar Harian.
Kata Ismail, jambatan itu yang dibina pada pemerintahan kerajaan Pas pada 2001 kerap rosak setiap kali kampung mereka dilanda banjir.
Menurutnya, lebih menyedihkan jambatan itu sekali lagi musnah biarpun pada Januari lalu penduduk baru sahaja membaiki kepala jambatan itu yang peruntukannya disumbangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar.
Seorang lagi penduduk yang juga pemaju di Risda, Che Wan Muda Che Wan Su, 74, berkata, kemusnahan kemudahan jambatan itu menyulitkan 200 penduduk kampung termasuk 18 peserta Risda untuk ke tanah seberang yang dijadikan sebagai projek tanam semula getah yang dimulakan sejak 2003 membabitkan kawasan seluas 404 hektar.
“Jadi diharap jambatan yang musnah dapat dibina semula dengan segera sebagaimana kata Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek ketika merasmikan Koperasi Pasir Gajah pada 17 Julai tahun lalu yang menjanjikan mahu membina jambatan baru di kampung ini.
“Kita harap janji itu ditunaikan kerana pada tahun lalu, penduduk menerima jawapan jambatan baru tidak dapat dibina kerana tiada peruntukan, jadi harap penantian kami tahun ini tidak sia-sia,” katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan