Berita baik dari Sungai Kemaman
Note: Read the English version of this post here: Great news from the Kemaman River
Pada bulan Februari 2011, kami telah memulakan program pemuliharaan tuntung sungai di Sungai Kemaman, dengan kerjasama masyarakat tempatan dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN). Masyarakat tempatan yang terlibat dalam program pemuliharaan tersebut adalah JKKK Kg. Kapor Tok, Kg. Pasir Gajah dan Kg. Dadong, berdekatan dengan Sungai Kemaman.
Sebanyak 648 butir telur tuntung sungai telah dikutip dan dieramkan di Sungai Kemaman dan sebanyak 241 anak tuntung telah dihasilkan, dengan purata kadar penetasan sebanyak 37%.
Di Kg. Tok Kapor, sebanyak 218 butir telur dari 16 sarang telah dieramkan, dan 25 ekor anak tuntung telah dihasilkan. Kadar penetasan adalah direkodkan sebanyak 11%. Telur-telur tuntung pada mulanya dieramkan di tepi Sungai Pinang tetapi berikutan hujan lebat dan banjir pada bulan Mac, kesemua telur yang sedang dieramkan telah dibanjiri. Telur-telur tuntung sungai kemudiannya dipindahkan ke tempat yang lebih tinggi dan proses pengeraman bersambung. Kami telah menggali kesemua sarang pada 16hb Mei, dan mendapati bahawa daripada sejumlah 16 sarang yang sedang dieramkan, hanya 4 sarang mempunyai anak tuntung yang hidup. Walaupun telur-telur tuntung berjaya dialihkan dengan selamat pada musim banjir, sarang-sarang tersebut diserang oleh semut. Kebanyakan telur yang tidak menetas mempunyai tanda-tanda lubang semut, manakala anak-anak tuntung yang sudahpun mulai keluar daripada kulit telur masing-masing tetapi tidak berjaya sampai ke bahagian atas sarang menunjukkan tanda-tanda gigitan semut.
Di Kg. Pasir Gajah, sebanyak 420 butir telur dari 24 sarang telah dieramkan, dan 208 anak tuntung telah berjaya ditetaskan. Kadar penetasan adalah direkodkan sebanyak 49%. Separuh daripada anak-anak tuntung sungai yang menetas dilepaskan ke dalam Sungai Kemaman pada 21hb Mei.
Sementara itu, di Kg. Dadong, 10 butir telur dari satu sarang telah dieramkan pada 27hb Februari dan sebanyak 8 anak tuntung telah menetas. Kadar penetasan adalah sebanyak 80%.
Walaupun kejayaan penetasan tidak seberapa, kami ingin mengambil peluang ini untuk memuji penduduk tempatan yang telah menjaga telur-telur dan anak-anak tuntung dengan rapi. Program pemuliharaan tuntung sungai ini tidak mungkin berjaya dijalankan tanpa sokongan, semangat dan tindakan daripada masyarakat tempatan.
Semua anak tuntung yang tetas telahpun ditanda, ditimbang dan diukur, kecuali bagi anak-anak tuntung yang karapas (cengkerang atas) mereka belum terbuka sepenuhnya.
Gambar-gambar berikut menunjukkan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan program pemuliharaan tuntung sungai di Sungai Kemaman. Gambar #5 diambil oleh Gerald Kuchling, gambar #11 diambil oleh Pelf, manakala yang selainnya diambil oleh Wee Seng Whatt.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan