Harapan...

Ahad, Julai 31, 2011

ANAK PAK MAT BT 10 HARUMKAN NAMA PASIR GAJAH

Atlet layak ke Olimpik dapat elaun khas


Trio memanah (dari kiri) Khairul Anuar Mohamad, Cheng Chu Sian dan Haziq Kamaruddin antara penerima Skim Insentif Sukan Olimpik setelah menjadi kumpulan atlet pertama negara yang layak ke temasya sukan di London tahun depan.


KEMAMAN - Lima atlet Sukan Olimpik negara menerima elaun bulanan khas di bawah Skim Insentif Sukan Olimpik.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, mereka yang menyertai acara individu layak menerima RM2,000 berbanding RM1,600 sebelum ini, manakala mereka yang menyertai acara berkumpulan akan menerima sebanyak RM1,600 berbanding RM1,000 sebelum ini.

"Mereka akan menerima elaun bulanan itu dari tarikh kelayakan mereka menyertai Sukan Olimpik sehingga sukan itu diadakan," katanya.

Ahmad Shabery hadir pada Penyampaian Skim Insentif Sukan kepada pasukan memanah negara di tapak acara Karnival Dadong, di Kampung Dadong di sini, semalam.

Trio memanah kebangsaan yang dianggotai Chen Chu Sian, Haziq Kamaruddin dan Khairul Anuar Mohamad muncul sebagai kumpulan pertama atlet Malaysia yang layak ke London selepas meraih tempat kesembilan acara berpasukan pada Kejohanan Memanah Dunia di Torino, Itali pada 8 Julai lepas.

Turut layak menerima elaun bulanan khas itu ialah dua penerjun, Pandelela Rinong dan Bryan Nickson Lomas yang turut menempah tiket ke London selepas melepasi tahap kelayakan.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata kenaikan elaun bulanan itu telah diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengurus Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil yang dipengerusikan beliau pada Mac lepas.

Sementara itu pemanah negara Khairul Anuar yang ditemui berkata, beliau berterima kasih kepada kerajaan menyediakan elaun bulanan tersebut.

"Elaun tidak begitu penting, yang penting sekali ialah semangat juang untuk memastikan negara mampu memperoleh pingat dalam sukan itu nanti," katanya.

Beliau yang merupakan anak jati Kemaman berkata, pasukannya kini sedang giat berlatih termasuk dalam bulan Ramadan nanti sebagai persiapan menghadapi sukan itu. - Bernama

Tiada ulasan: