Harapan...

Rabu, Ogos 17, 2011

BERITA GEMBIRA BUAT PENGERUSI JKKK...TERIMA KASIH YAB MB TERENGGANU

Kerajaan Negeri Akan Bayar Elaun JKKK Yang Tertonggak

Menteri Besar menyampaikan watikah perlantikan kepada seorang Pengerusi JKKK Daerah Besut petang semalam

Penantian selama lapan bulan untuk mendapat berita baik dari Kerajaan Negeri oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) mengenai elaun baru mereka akhirnya terjawab semalam apabila Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said mengumumkan tunggakan elaun terbabit akan dibayar segera.

“Insyaalah jika tidak ada aral melintang tunggakan elaun kepada semua pengerusi JKKK negeri ini akan dibayar menjelang akhir bulan Ramadan ini,” katanya.

Katanya, jika ada masalah tunggakan berkenaan akan dibayar selewat-lewatnya pada bulan September depan. Apa yang penting kerajaan tetap membayar elaun berkenaan sebagaimana diputuskan oleh kerajaan.

Menteri Besar berkata demikian ketika menyampaikan watikah perlantikan kepada pengerusi JKKK Daerah Besut sempena majlis berbuka puasa yang diadakan di perkarangan kediaman Pegawai Daerah Besut, Pantai Peranginan Air Tawar, petang semalam.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Penasihat Agama Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin, ADUN Kota Putera, Muhammad Pehimi Yusof, ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad, ADUN Jabi, Ramlan Ali dan Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh.

Ahmad ketika menjelaskan perkara itu berkata, bayaran tunggakan itu akan dibayar penyandang jawatan pengerusi yang dikekalkan berkuatkuasa Januari lalu manakala mereka yang baru dilantik ia akan bermula pada Jun lalu.

Ketika ini semua pengerusi JKKK masih menerima elaun mengikut kadar lama RM450 manakala kadar baru akan dinaikkan kepada RM800 sebulan mulai Januari tahun ini.

Kenaikan kadar baru elaun pengerusi JKKK diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pada pembentangan Bajet 2011 pada Oktober tahun lalu.

Sementara itu, Ahmad Said berkata kerajaan negeri juga terpaksa membelanjakan RM12 juta untuk pembayaran bonus kepada kakitangan kerajaan negeri yang akan dibayar bulan ini bagi membantu meringankan beban menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

Tiada ulasan: