Harapan...

Khamis, Oktober 06, 2011

JAMBATAN SG PINANG AKAN DIBINA...YAHOOO

RM8.5j bina jambatan Sg. Pinang


Jambatan Sungai Pinang di Kemaman yang tergendala lebih sedekad lalu bakal disambung proses pembinaannya tidak lama lagi.


KEMAMAN 3 Okt. - Setelah lebih sedekad tergendala, kerajaan negeri akan meneruskan projek pembinaan jambatan Sungai Pinang dekat sini bagi kemudahan 20,000 orang penduduk.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, kerajaan Pusat meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM8.5 juta bagi menyiapkan jambatan penghubung untuk penduduk beberapa buah kampung termasuk Air Putih dengan bandar Cukai.

Bercakap kepada pemberita semalam semasa melawat beberapa buah kampung sekitar yang dilanda banjir kilat baru-baru ini, beliau berkata, pembinaannya akan dimulakan awal tahun depan dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Menurut Ahmad, jambatan berkenaan penting kerana laluan utama penduduk Air Putih ke bandar Cukai sering terputus setiap kali banjir berlaku dan menyukarkan perhubungan.

"Saya dimaklumkan oleh Kementerian Kerja Raya bahawa berlaku sedikit kesilapan teknikal termasuk dari segi reka bentuk semasa pembinaan jambatan itu dahulu dan ia telah menyebabkan masalah lain yang lebih serius sehingga tergendala terlalu lama," ujarnya.

Menurut Ahmad, sebelum projek itu dimulakan 10 tahun lalu, pihaknya telah mengemukakan pandangan termasuk dari segi reka bentuk jambatan itu tetapi ia tidak diterima.

"Kita berharap pihak berkenaan dapat menerima pandangan peringkat setempat dalam merencanakan projek pembangunan, apatah lagi ia melibatkan kos yang besar, agar tidak berlaku pembaziran," ujarnya.

Ahmad berkata, kerajaan juga bercadang meninggi dan menaik taraf jalan antara Kampung Paya Pamam yang menghubungkan jambatan berkenaan kerana ia sering ditenggelami air.

Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Kijal berkata, apabila jalan itu ditinggikan, ia akan menjadi laluan alternatif penduduk dari Kampung Air Putih dengan menggunakan jalan Mardi Pasir Gajah ke Ibok untuk ke bandar Cukai.

''Jalan ini dapat digunakan penduduk sekitar Kampung Air Putih, Pasir Gajah, Seberang Tayur dan Dadong sementara menunggu pembinaan jambatan Sungai Pinang siap dalam tempoh dua tahun lagi,'' katanya.

Tiada ulasan: