Kanak-kanak asyik menyaksikan sebahagian daripada tuntung yang berusia kira-kira tiga bulan pada majlis pelepasan haiwan itu di Kampung Pasir Gajah, Kemaman, baru-baru ini
Melepas tuntung di Sg. Kemaman
Oleh SAPPE MAT JUNUSutusanterengganu@utusan.com.my
Oleh SAPPE MAT JUNUSutusanterengganu@utusan.com.my
.KEMAMAN 12 Okt. - Sebanyak 84 ekor anak tuntung sungai berusia tiga bulan dilepaskan ke dalam Sungai Kemaman baru-baru ini yang menyajikan satu pengalaman menarik bagi golongan muda apabila dapat menatap, memegang dan melepaskan haiwan eksotik yang kian diancam kepupusan itu ke dalam air.
Pelepasan tuntung ini adalah kali kedua dilakukan di Kampung Pasir Gajah, selepas 100 ekor dilepaskan Jun lalu dan lapan ekor lagi di Kampung Dadong sebulan kemudian di bawah program pemuliharaan yang pertama kali dilakukan di daerah ini dengan penglibatan penduduk setempat.
Kesemua anak tuntung yang dilepaskan itu telah ditimbang, diukur dan dimasukkan mikrocip yang berfungsi sebagai tanda pengenalan bagi tujuan penyelidikan di sungai tersebut yang selama ini terlepas daripada perhatian para penyelidik dan pencinta alam.
Program pemuliharaan itu dimulakan Februari lalu melalui usaha bersama Persatuan Pemuliharaan Tuntung, Kura-Kura dan Penyu, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pasir Gajah, penduduk setempat dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Chen Pelf Nyok, selaku pengurus projek pemuliharaan itu berbangga dan berterima kasih kepada penduduk Kampung Pasir Gajah kerana begitu cakna dan sepakat menjayakan usaha itu.
''Mereka sedar tentang tuntung yang semakin lama semakin jarang kelihatan. Mereka ingin memastikan haiwan itu terus dapat dilihat oleh generasi akan datang.
''Cuma mereka tidak tahu bagaimana memulakan projek pemuliharaan, lalu kami mencadangkan dan mereka bersetuju serta memberikan sepenuh kerjasama," ujarnya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Beliau menarik perhatian seramai tujuh penduduk kampung yang digelarkannya sebagai 'geng tuntung' secara sukarela menjalankan pemerhatian di pinggir sungai dan mengumpulkan telor untuk pengeraman.
Malah, katanya, mereka menolak upah yang ditawarkan kerana bagi mereka ia sebagai satu sumbangan untuk memastikan tuntung terus naik bersarang di kampung mereka.
''Musim tuntung bersarang di kampung itu adalah dari Januari ke Mac setiap tahun. Sebanyak 420 butir telur dieramkan dengan sebanyak 198 ekor anak tuntung telah berjaya ditetaskan. Kadar penetasan adalah sebanyak 47 peratus,'' katanya.
Menurutnya, daripada 198 anak tuntung itu, lebih daripada separuh telah dilepaskan ke dalam Sungai Kemaman seminggu selepas penetasan dan ketika itu purata berat seekor adalah 118 gram, manakala purata panjang adalah 8.7 sentimeter dan lebar cengkerang 8.2 sentimeter.
''Selebihnya telah dipelihara oleh penduduk setempat sebelum turut dilepaskan baru-baru ini. Ketika itu purata beratnya 468 gram, panjang cengkerang 14.2 sentimeter dan lebar 12.2 sentimeter," ujarnya.
Majlis pelepasan telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar bersama dengan Pengerusi JKKK Pasir Gajah, Mohd. Nor Jusoh, penduduk kampung dan penuntut Kolej Universiti Antarabangsa Sedaya (UCSI).
Beliau juga berharap projek tersebut akan dilanjutkan pada tahun-tahun akan datang dan diperluaskan ke sungai lain yang menjadi kawasan habitat spesies itu.
Katanya, di negeri ini, usaha pemuliharaan tuntung telah dimulakan di Sungai Setiu sejak 2004 dan perkembangannya agak memberangsangkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan