Harapan...

Khamis, Oktober 13, 2011

SINAR HARIAN - MELEPASKAN TUNTUNG




84 anak tuntung dilepaskan


PASIR GAJAH – Sebanyak 84 ekor anak tuntung berusia tiga bulan dilepaskan ke Sungai Kemaman pada Jumaat lalu. Program ini di bawah projek pemuliharaan tuntung sungai hasil kerjasama Persatuan Pemuliharaan Tuntung, Kura-kura dan Penyu (TCS), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pasir Gajah.



Pengurus Projek Pemuliharaan Tuntung, Chen Pelf Yok berkata, kesemua anak tuntung yang dilepaskan sudah ditimbang dan diukur, selain lebih penting ia turut dimasukkan mikrocip yang berfungsi sebagai tanda pengenalan. Menurutnya, program pemuliharaan tuntung sungai Kampung Pasir Gajah itu dimulakan pada Februari lalu yang turut mendapat kerjasama masyarakat setempat. Katanya, sebanyak 420 biji telur tuntung sungai daripada 24 sarang dikutip dari Pasir Pok Yok untuk dieramkan. “Pada musim tuntung bersarang dari Januari hingga Mac tahun ini, sebanyak 420 biji telur dieramkan di Kampung Pasir Gajah dan sebanyak 198 ekor anak tuntung berjaya menetas pada Jun. “Ini bermaksud kadar penetasan anak tuntung di Pasir Gajah mencapai 47 peratus,” katanya.



Pelf Yok berkata, seminggu selepas menetas pula, lebih dari 100 ekor anak tuntung dilepaskan ke dalam Sungai Kemaman. “Pada waktu itu, purata berat seekor adalah 118 gram manakala purata panjang adalah 8.7 sentimeter dan lebar cangkerang pula 8.2 sentimeter,” katanya. Pelf Yok berkata demikian pada majlis pelepasan baki anak tuntung yang disempurnakan Adun Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar.



Sementara itu, pelepasan anak tuntung ke sungai itu turut dilakukan Pengerusi JKKK Kampung Pasir Gajah, Mohd Nor Jusoh, penduduk kampung dan penuntut University College Sedaya International (UCSI) Kampus Terengganu. Pelf York berkata, baki anak tuntung yang baru dilepaskan itu dipelihara penduduk, Wazir Mahad sekeluarga selama tiga bulan dan sehingga 27 September lalu purata berat seekor anak tuntung adalah 468 gram manakala purata panjang cangkerang 14.2 sentimeter dan lebar pula 12.2 sentimeter. “Anak tuntung yang paling kecil mempunyai berat sebanyak 146 gram manakala anak tuntung paling besar seberat 740 gram.



“Kita berbangga dan berterima kasih kepada pengerusi dan ahli JKKK Kampung Pasir Gajah kerana bersetuju menjalankan projek pemuliharaan tuntung sungai ini dan berharap projek ini diteruskan,” katanya. Sementara itu, Mohd Nor berharap projek berkenaan dapat digiatkan lagi pada masa depan dengan jumlah telur yang dieramkan mencapai 1,000 biji bagi memastikan spesies tuntung sungai berkenaan tidak pupus dan boleh terus dilihat generasi akan datang.

Tiada ulasan: