KHAIRUL ANUAR MOHAMAD...
Trio memanah gegar
Oleh Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my
TRIO memanah negara terus menggegar di pentas antarabangsa apabila meraih emas acara recurve berpasukan di Kejohanan Memanah Asia yang berlangsung di Teheran, Iran semalam.
Namun kejayaan itu bukan saja diraih trio Olimpik negara terbabit kerana gandingan tiga pemanah wanita dalam acara compound berpasukan turut meraih pingat perak. Ia adalah kejayaan pertama atlet memanah negara meraih pingat dalam kejohanan terbabit.
Gandingan Khairul Anuar, Cheng Chu Sian dan Haziq Kamaruddin nyata hebat dalam acara recurve berpasukan apabila mudah menundukkan lawan tanpa kehadiran gergasi dunia dan Asia, Korea Selatan.Trio negara terbabit yang mencatatkan rentetan kejayaan sejak kebelakangan ini, mudah mengatasi cabaran China dalam aksi final walaupun sekadar meraih 187 mata berbanding lawan yang mengumpul 184 mata, satu catatan yang rendah jika dibandingkan dengan keupayaan sebenar mereka.
Namun ia sudah mencukupi untuk mereka mengukir nama di kejohanan terbabit sekali gus menghadirkan rasa gerun kepada lawan menjelang beberapa kejohanan selepas ini sebagai persediaan untuk menghadapi Sukan Olimpik 2012 di London.
Trio wanita negara dalam recurve berpasukan pula tersingkir di suku akhir namun gandingan compound berpasukan wanita yang membariskan Saritha Cham Nong, Nor Rizah Ishak dan Fatin Norfatehah Mat Salleh menebus kehampaan dengan meraih perak selepas tewas kepada Korea Selatan dengan perbezaan tujuh mata apabila mengumpul 163 mata.Setiausaha Kehormat Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM), Abdul Hamid Hassan berkata, kejayaan itu sangat menggembirakan terutamanya kedua-dua acara terbabit (recurve berpasukan lelaki dan compound berpasukan wanita) memang menjadi sasaran pihaknya meraih emas di Sukan Sea di Indonesia pada bulan depan.
“Saya berharap ia akan membakar semangat mereka untuk terus mempamerkan aksi terbaik. Malah saya berkeyakinan sasaran ketua jurulatih negara, Lee Jae-hyung untuk melayakkan salah seorang pemanah wanita negara layak ke Sukan Olimpik 2012 pada kejohanan ini tercapai,” katanya semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan